Rabu, 6 Mei 2009



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat
Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Riwayat Muslim

Huraian
Mengharungi kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik. Sesungguhnya sebagai agama “keamanan’, Islam sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia. Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah seperti menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah di dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh-menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda dan sebagainya daripada kecurian, rompakan pencerobohan dan lain-lain.

Sebagai seorang Muslim kita mestilah menghormati maruah individu Muslim yang lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain. Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam adalah dek kerana sikap tidak ambil peduli yang berlaku antara sesama umat Islam hari ini. Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka. Namun malangnya mereka hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis ini tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

Sebetulnya umat Islam harus hidup sepertimana yang disebut dalam pepatah Melayu “cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya”. Dengan perkataan lain, jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Kebajikan Dan Keburukan
Hadith :
Musaddad menyampaikan kepada kami, dari Abdul Aziz bin Mukhtar, dari Khalid al-Hazza’, dari Akramah katanya:”Abdullah bin Abbas berkata kepada aku dan anaknya Ali:”Kamu berdua dengarlah hadith (daripadanya). Maka kami berdua pun pergi dan ketika itu Abu Said sedang membersihkan halaman. Ia mengambil selendangnya lalu duduk. Selepas itu ia mula menyampaikan hadith hingga sampai kepada membicarakan binaan masjid. Beliau berkata:”Kami membawa batu-bata sekeping demi sekeping dan Ammar pula membawa dua batu bata (sekaligus), maka nabi s.a.w melihatnya lalu baginda mengibas-ngibas tanah daripadanya sambil bersabda:”Kasihan Ammar, puak pelampau ingin membunuhnya sedangkan ia menyeru mereka kapada syurga dan mereka menyerunya kepada neraka. Abu Said berkata, Ammar menjawab:”Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah.”
(Bukhari)

Huraian
Ada banyak orang yang diberi hidayah oleh Allah dengan melakukan perbuatan baik berupa kebajikan dan banyak orang yang tertipu kerana perbuatan buruknya yang dirasakan baik. Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang memilih jalan kesesatan, maka tidak ada seorang pun yang boleh memberi petunjuk kepadanya. Merekalah orang-orang kafir dan kaum munafiq yang termakan tipu daya dan fitnah syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia, menghambakan diri kepada nafsu bukan kepada penciptanya.